Monday, July 17, 2017

8 Risiko dalam Jualan Pisang

8 RISIKO DALAM JUALAN PISANG

Semasa menjual pisang kepada pelanggan, kadangkala terdapat beberapa risiko yang perlu kita perhatikan.

Risiko ini semuanya mengancam kewangan syarikat, oleh itu, perlu diteliti dan diambil tindakan pencegahan sebaiknya.

1. Risiko Kecurian Buah Semasa Diangkut

Seorang kenalan kami bercerita, sahabatnya menghadapi risiko ini. Beliau sedang dalam perjalanan ke pasar borong mengangkut pisang penuh dalam lori 3 tan.  Beliau berenti rehat di sebuah RnR. Namun malangnya, lori beliau yang penuh dengan muatan pisang itu dicuri. Habis RM100,000!

2. Risiko Consignment

- Pastikan pelanggan consignment sentiasa bayar apabila tempoh kredit matang.

- Pastikan jumlah had kredit tidak melebihi RM2000 atau jumlah had kredit  yang kita tentukan. Bagaimana menentukan jumlah had kredit? Tentukan dengan melihat komitmen bulanan ladang. Tanya soalan ini, adakah jika consignee tidak bayar hutang, kita mampu berbisnes macam biasa? Kita kadangkala tak nampak kos bulanan ladang sebab mungkin ladang masih kecil. Berapa ribu RM sanggup kita bakar? Berapa ramai consignee yang sanggup kita taja?

3. Risiko Buah Rosak Dalam Pengangkutan

- Salah satu kos paling besar dalam bisnes adalah kos pengangkutan. Bukan soal jarak dan jenis pengangkutan sahaja yang menjadikan kosnya mahal. Malah pengurusan barang yang diangkut dan skill mengangkut hasil tani juga menjadi sebab kosnya mahal.

- Dalam manual pengurusan hasil tani selepas tuaian(post-harvesting handling procedures), ada diajarkan bagaimana membungkus, mengangkut, melabel, dan menyimpan stok hasil tani, bermula sebaik sahaja selepas dituai, sehinggalah selamat ke tangan pengguna.

4. Risiko Buah Rosak Selepas Dihantar Kepada Pelanggan

- Dua sebab utama bagaimana buah boleh rosak hanya selepas dihantar kepada pelanggan yang menyebabkan pelanggan tidak dapat jual atau guna buah yang kita jual. Satu, pisang rosak disebabkan penyakit pisang yang tidak dapat dikesan awal ataupun cuaca semasa tuaian dan proses penghantaran.

- Dua, kadangkala ada keadaan di mana situasi yang kita hadapi tiada disebut dalam manual prosedur pengurusan selepas tuaian. Jadi kita terpaksa melakukan kesilapan dan 'membayar yuran kebodohan'.

- Pisang mungkin rosak apabila sudah dijual kepada pelanggan. Contohnya pisang lemak manis tidak dapat bertahan lama lebih 3 hari apabila digantung. Cara mengatasinya adalah menjual dengan meletakkannya di dalam pinggan plastik kecil.

5. Risiko Pengedar Tidak Membayar Hutang

-Sesetengah ladang memajakkan buah mereka terus kepada pengedar. Pengedar hanya datang mengambil buah dan membayar kemudian. Ada juga yang membayar secara terus. Jika kita tidak berhati-hati dan tidak mengenali pengedar dengan baik, mungkin wang hasil ladang akan dibawa lari.

6. Risiko Pengedar Tidak Mahu Membeli Buah

- Pelanggan pisang mempunyai karakteristik dan kecenderungan masing-masing. Misalnya, ada jenis pisang mereka suka jual dan ada jenis pisang mereka tidak suka jual. Kenalpasti jenis pisang apa yang biasa mereka jual dan harganya.

- Lebih kritikal lagi, pelanggan pisang memerlukan kita memaklumkan terlebih dahulu setiap kali kita mahu membekalkan pisang.

- Kadangkala pelanggan pisang tidak mahu ambil buah kerana pisang kita tidak menepati kehendak mereka seperti saiz kecil, buah berbintik, buah terlalu masak, jumlah dibekalkan melebihi tempahan, pisang berpenyakit,

7. Risiko Salah Ambil Tempahan

- Situasi ini sebenarnya kecil sahaja. Asalnya hanya disebabkan miscommunication atau salah faham komunikasi. Hal ini boleh terjadi dalam pengurusan tempahan yang tidak dipusatkan, salah dengar jenis buah yang ditempah, tidak mengesahkan tempahan apabila dekat dengan tarikh pengambilan pisang di ladang, dan tempahan diambil atau dibatalkan saat akhir.
- Pembatalan tempahan saat akhir mungkin menambahkan kos. Contohnya kerana kita sudah mengeluarkan kos membeli pisang dari ladang lain, namun apabila tiba saat pengagihan, pisang tidak mahu dibeli oleh pelanggan. Tempahan saat akhir juga kadangkala meningkatkan kos, kerana kita perlu menambah perbelanjaan bajet.

8. Risiko Kehilangan Pelanggan

- Selepas menghadapi 7 risiko di atas, kita mungkin perlu menghadapi risiko yang terakhir ini. Kita perlu memilih pelanggan yang kurang berisiko  dan berdisiplin serta yang percaya pada bisnes kita dan mahu berurusniaga dengan kita.

Ladang Yaatim
9.12.16
_________
Ikuti perkongsian tips, teknik, nota bisnes dan penanaman pisang di
http://facebook.com/notabisnespisang

Pelan Pemulihan Ladang Siri 1

Apabila ladang pisang terkena penyakit, kita perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut. Jikalau kita lambat ambil tin...