Saturday, August 19, 2017

Pelan Pemulihan Ladang Siri 1

Apabila ladang pisang terkena penyakit, kita perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Jikalau kita lambat ambil tindakan, siap sedialah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ladang!

Penyakit pisang merupakan antara penyakit yang paling cepat merebak. Hal ini disebabkan faktor berikut:

1. Pisang terdedah kepada variasi penyakit.

2. Jangkitan penyakit boleh menular melalui banyak medium, air, udara, debunga, tanah, akar, serangga pembawa, dan kecuaian manusia.

3. Jangkamasa di antara keluar jantung dan proses pendebungaan yang singkat, menyebabkan banyak penyakit menular dalam tempoh ini.

Sunday, August 13, 2017

Pisang Tisu Kultur vs Pisang Sulur

Beberapa minggu lepas, ada yang bertanya, berkenaan kebaikan atau kelebihan pisang kultur tisu berbanding pisang sulur (benih anak pokok).

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita mesti kenal apa itu pisang kultur tisu terlebih dahulu.

Benih pisang kultur tisu, asalnya daripada sulur pisang juga. Selepas dipilih benih terbaik berdasarkan induk, sulur tersebut 'dikerjakan' di makmal kultur tisu bagi menghasilkan 50 lagi benih pisang.

Benih pisang yang sudah siap diklonkan akan diletakkan di dalam botol kaca, biasanya 10 pokok 1 botol. Botol-botol benih ini akan diperam dalam cecair khas, dalam bilik sejuk dengan suhu terkawal selama beberapa bulan. Selepas 4-5 bulan, barulah benih tisu dipindahkan ke polybag kecil untuk dijaga di dalam nurseri.

Apa Kelebihan Pisang Kultur Tisu?

+ Jika ladang dibuka itu luas dan memerlukan benih pokok yang banyak dalam masa singkat, tisu kultur adalah jawapannya.
+ Lebih daya ketahanan terhadap penyakit. Tidak mewarisi penyakit daripada induk.

Kekurangannya?
- Tempoh masa yang agak lama untuk matang, dari fasa botol-polibag-tanah. Lebih lama sedikit berbanding benih sulur.
- Lebih sensitif kepada cahaya dan air serta baja. Menyebabkan ia mudah mati
-  Rasanya kurang manis berbanding pisang biasa.
-  Agak sukar dijual di pasaran tempatan kerana sebahagian peraih tidak mahu mengambilnya dengan alasan masyarakat kurang suka.
-  Tidak banyak jenis pisang yang ada kultur tisu. Hanya ada beberapa
-  Kultur tisu perlu diuji hasilnya sama ada menjadi atau tidak. Jika tersilap memilih pembekal benih tisu, ladang anda mungkin terpaksa disodok rata bulldozer selepas 10 bulan. Mandul!
-  Harganya lebih mahal berbanding pisang sulur. Harga pasaran RM2.50-RM4 sepokok.

Apa pula Kelebihan Pisang Sulur?

+ Akar pokok lebih kuat kerana lebih banyak support di sekeliling pokok.
+ Ditanam secara langsung di dalam tanah. Terdedah lebih banyak kepada top soil dan nutrien tanah yang banyak.
+ Mudah dikenali jika diambil terus pada induknya.
+ Masa lebih singkat untuk pusingan pertama, kedua dan ketiga.
+ Harga yang lebih murah berbanding benih tisu. Harga pasaran RM1-RM2 sepokok.

Kekurangannya?
- Boleh merosakkan pokok induk.
- Mewarisi penyakit daripada induk. Hanya dapat dikenalpasti selepas berbuah dan dituai hasilnya.
- Sukar dikenalpasti jika bercampur aduk dengan jenis pisang lain.

Anda boleh pilih mana-mana berdasarkan bajet anda. Tak semestinya benih pisang sulur kelihatan banyak kelebihan, anda mendapat semua kelebihan itu. Yang penting, pilih pembekal benih yang jujur dan boleh dipercayai.

Saturday, August 12, 2017

Bagaimana Mengetahui Sama Ada Pisang Tanduk Sudah Boleh Dituai Atau Tidak


+ Janggut di hujung buah sudah kekeringan dan gugur.

+ Daun atas tandan atau daun yang bersama tandan, yang biasanya dipanggil daun pengasuh, sudah kering.

+ Buah sudah bulat dan penuh. Cara mengetahuinya adalah dengan menjentik buah. Jika bunyinya padat, tandanya sudah boleh dituai

+ Buah besar dan menyamai standard hasil pisang yang biasa, atau lebih besar.

+ Buah di sikat paling atas sudah sedikit lembut.

+ Ada rekahan sedikit.

+ Buah sudah berwarna kuning.

+ Isinya sudah berwarna oren kekuningan.

+ Gabungan semua ciri di atas atau sebahagian. Kadangkala ada ciri yang tidak ada. Semuanya bergantung kepada pengalaman.

Mati Kilo : 9 Punca Pisang Kehilangan Berat

MATI KILO : Apa Tu?

Kilometer pernahlah kami dengar. Kilo Mati tak pernah pula.

Pertama kali kami mendengar istilah mati kilo semasa berurusan dengan peraih pisang di Kelantan. Pada mulanya, memang tidak faham juga.

Tapi sebagai peladang dan usahawan baru,  jangan segan bertanya jika tidak faham.

Mati kilo ialah istilah yang digunakan bagi menunjukkan pengurangan atau penyusutan berat buah selepas tuaian. Memandangkan ada banyak keadaan yang dilalui oleh hasil tuaian sebelum dijual, jadi kita perlu berhati-hati supaya hasil jualan diperolehi secara maksimum.

Ada mati kilo yang boleh meningkatkan harga buah, namun kebanyakannya menurunkan harga.

Apakah punca mati kilo?

1.  Buah terlalu masak dan gugur dari tangkai. Buah seperti ini sukar dijual dan mengurangkan harga jualan kerana pengedar menanggung risiko buah rosak sebelum habis terjual.

2. Ketika diangkut, buah patah atau tertanggal dari tangkai atau sikatnya.

3. Ketika proses memotong tandan atau menyikat pisang, buah terpotong atau terhiris.

4. Buah berkait rapat dengan air. Penyusutan isipadu air dalam buah berlaku apabila tempoh masa di antara selepas tuaian dengan jualan itu besar. Buah akan semakin ringan dan kekurangan air. Penyusutan boleh berlaku dengan ekstrem terutamanya jika berlaku pemeluhan buah dan suhu penyimpanan yang tinggi.

5. Buah yang paling bawah di dalam satu-satu tandan biasanya kecil dan tidak menepati piawai buah yang boleh dijual. Biasanya buah kecil akan dibuang. Ini juga mengurangkan berat kilo buah.

6. Pisang mempunyai tandan. Sekiranya mati kilo dibuat dengan cara membuang tandan dalam proses menyikat, harga sekilo pisang akan meningkat sedikit.

7. Sesetengah pisang perlu diperam. Berat pisang yang diperam akan menurun berbanding berat sebaik sahaja selepas tuaian.

8. Adakalanya pokok tidak dapat menampung berat buah yang hampir masak terutamanya ketika ada angin kencang. Pohon boleh tumbang dan mencederakan buah yang menunggu masa untuk dituai.

9. Buah cedera semasa pengangkutan. Kecederaan lazim adalah buah lebam, penyet, terbelah, merekah dan tercabut kulit. Buah akan jatuh gred. Harga keseluruhan pun menurun.

Nota Bisnes Pisang
291116

_________
Ikuti perkongsian tips, teknik, nota bisnes dan penanaman pisang di
http://fb.me/notabisnespisang

Audit Ladang : 15 Soalan Tindakan

Setiap seminggu atau dua minggu sekali, pengurus ladang wajib turun ke ladang bagi memantau perjalanan dan mengaudit kerja-kerja ladang.

Ladang adalah benda hidup. Seminggu ditinggalkan, pasti ada perubahan. Walaupun kita mungkin ada penyelia dan pekerja ladang yang menjalankan tugas-tugas perladangan secara harian, namun kita tetap perlu memantau kerja-kerja mereka supaya bertepatan dengan Standard Operating Procedure atau SOP dan matlamat penubuhan ladang.

Tanya soalan-soalan ini kepada diri kita.
■Berapakah pendapatan yang kita mahu hasilkan?
■Berapakah jumlah hasil pengeluaran yang kita mahu?
■Adakah benih yang ditanam boleh dituai pada bulan sekian-sekian dan mencapai jumlah pengeluaran yang kita mahukan?
■Adakah pokok sedia ada dibaja, dirumput, diracun, dipangkas daun dan disiram secara berkala?
■Adakah peralatan diurus dengan baik?
■Adakah gaji dan kebajikan pekerja dijaga dengan sempurna?
■Adakah pekerja melaksanakan tugasnya sebagaimana yang dijanjikan atau diberikan arahan?
■Apakah penyelia benar-benar turun padang menyelia kerja-kerja pekerja ladang?
■Benarkah laporan yang dibuat di dalam whatsapp atau mesej atau sekadar laporan bagi membina harapan dan menyedapkan hati kita sahaja?
■Adakah pekerja mengikut SOP dan matlamat yang kita gariskan?
■Berapakah jumlah pengeluaran yang dapat dituai dalam masa terdekat?
■Berapakah anggaran pengeluaran dan berapakah jangkaan untung rugi bulanan?
■Adakah pengeluaran menepati sasaran pendapatan?
■Apakah jangkaan risiko yang mungkin berlaku ke atas ladang dan bagaimanakah cara mengatasinya?
■Apakah langkah praktikal bagi meminimumkan risiko ke atas peladang, ladang, pekerja dan tanaman dan apakah langkah paling menjimatkan kos (cost wise)?

Ada soalan lagi?

Pisang Nangka Terkena Penyakit, Apa Tandanya?

Tuan puan tahu, apa yang menyebabkan petani pisang rugi paling pantas?

Apabila pokok pisang terkena penyakit, memang buat kita pening kepala!

Fakta : Penyakit boleh melanda seluruh kebun berpuluh-puluh ekar hanya dalam jangkamasa 2 minggu.

Suatu masa dahulu, pisang abu atau nipah yang mudah terkena penyakit sehingga hampir pupus di pasaran tempatan. Pisang nangka pula mula popular sebagai pengganti pisang abu.

Sekarang, pisang nangka pun terkena penyakit. Aduh!

Sekiranya pokok pisang nangka anda terkena penyakit, apa tandanya?

1. Buah kecil.

2. Buah kepek dan lompong di dalam.

3. Apabila dipicit, akan terasa rapuh dan berbunyi "prap".

4. Buah kelihatan seperti mahu masak, tapi masih hijau.

5. Warna daun pucat dan banyak daun kuning atau mati.

6. Buah sangat mudah patah.

7. Pada batang, tandan atau dahan daun apabila dibuat keratan rentas, akan kelihatan tanda hitam pada  bahagian tengah.

8. Buah berbau busuk dan cepat buruk.

9. Buah kelihatan kekuningan pucat pada sebahagian tandan.

10. Pokok mudah tumbang.

11. Sebahagian buah atau semua buah tidak dapat dimakan. Jika sebahagian yang kena, biasanya buah di sikat paling atas yang akan kena dahulu.

Jika pokok pisang anda ada tanda di atas, bersedialah untuk melaksanakan pelan pemulihan kebun pisang atau bersedia untuk tutup kedai.

Tip Mengelakkan Pisang Berbiji Di Dalam

Perasan tak, kadang-kadang semasa kita makan pisang goreng yang kita beli di gerai, kita tergigit sesuatu.

Sudahlah benda itu pahit, berbutir pula. Sama macam apabila kita sedang makan nasi, tiba-tiba tergigit batu kecil. Terpaksa muntahkan semula pisang goreng enak yang kita makan tadi. Silap-silap hilang pula selera kita.

Apa benda itu? Itulah biji di dalam pisang.

Selalunya pisang yang berbiji ini adalah pisang dalam keluarga pisang nipah, abu, embun, kapas dan awak.

Sebagai peniaga goreng pisang, apa cara yang patut kita buat bagi mengelakkan mendapat bekalan pisang sebegini?

Setakat saya tahu, tiada cara. Rupa luaran tetap sama. Cuma, mungkin boleh peniaga goreng pisang memeriksa pisang dengan cara membelah dua pisang tersebut. Jika ada biji, kita boleh lihat di tengah-tengahnya.

Sebagai peladang pula, bagaimana?

Pencegahan bermula pada peringkat awal lagi, iaitu dari peringkat penanaman sulur. Pastikan jika kita menanam sulur, tiada akar berjuntai yang keluar daripada bahagian akar. Potong dan buang kesemua akar halus.

#notabisnespisang
#tipbuangbiji

Nota Cara Menanam Pisang Berangan

Nota Cara Menanam Pisang Berangan dari Akademi Flora. Diambil dari grup whatsapp.

"CARA MENANAM PISANG BERANGAN"
.
Maklumat ini diperolehi daripada pengurus ladang pisang yang menjaga Ladang Pisang seluas 65 ekar di Johor.
.
1. Setiap pokok pisang hanya dikekalkan dengan 8 daun sahaja.
.
2. Untuk pisang berangan, buah hanya dikekalkan 10-12 sikat sahaja, selebihnya dibuang bersama jantung. Ini penting untuk menghasilkan buah ynag besar dan berat ynag maksimum.
.
3. Setiap tandan pisang perlu dibungkus dengan menggunakan kertas daripada jenis kertas simen atau kertas pembungkus dedak ayam. Gunakan staple dan ditutp rapat sehingga hujung pisang.
.
4. Apabila jantung keluar bilangan daun hanya dikekalkan 6 helai sahaja.
.
5. Anak pisang pertama hanya dibela apabila jantung pisang sudah keluar sahaja untuk mendapatkan pokok ibu yang benar-benar subur.
.
6. Setelah jantung pisang dipotong, daun hanya dikekalkan 4 helai sahaja.
.
7. Apabila jantung telah keluar, berhentikan pembajaan kepada pokok bagi mengelakkan buah pisang ynag mengkal atau keras dah kualiti pisang jatuh.
.
8. Pembajaan:
a. Mula menanam - letakkan baja penggalak akar dalam lubang sebelum menanam
b. Setelah umur 3 bulan tabur baja subur 15:15:15
c. Telaha umur 6-7 bulan tabur baja buah 12:12:17:2
d. Kadar baja hanya segenggam atau 250gram setiap pokok
.
9. MERUMPUT : Gunakan baja sentuh ICI atau BASTA. JANGAN gunakan racun serap. Pokok tidak perlu ditajak utk merumput memadai hanya meracun sahaja. Tanah juga tidak perlu digemburkan di keliling pokok utk elakkan pokok tumbang. Untuk meracun bancuhan adalah 70ml bagi 18 liter air. Pastikan bancuhan dikacau hingga sebati sebelum digunakan bagi mendapatkan kesan ynag maksimum.
.
10. PENYAKIT : Jika daun pisang berkarat kuning atau batang pisang berbintik-bintik hitam dan berlendir akibat serangan kulat sembur dengan bancuhan kapur seluruh pokok hingga pokok menjadi putih.
.
11. MEMETIK BUAH. Buah boleh dipetik apabila 2-3 daun telah layu atau kering.
.
Selamat mencuba!

-Akademik Flora

#figsfarm

Search and Destroy!

Jika terlihat tanda pisang terkena  penyakit, kita perlu cepat-cepat lupuskan pisang bersama rumpunnya. Terutamanya jika pisang sudah mula mengeluarkan bunga, anda hanya ada masa kurang seminggu untuk melupuskan pisang penyakit.

Selepas rumpun pisang ditebang, tunggul pisang hendaklah dibakar atau diracun supaya pisang penyakit tidak akan tumbuh lagi.

Kasut dan parang yang digunakan bagi melupuskan pisang hendaklah direndam dengan klorox serta tidak boleh digunakan bagi proning pokok pisang elok.

Jika terlambat, boleh ucapkan selamat tinggal kepada kebun anda.

Monday, July 17, 2017

8 Risiko dalam Jualan Pisang

8 RISIKO DALAM JUALAN PISANG

Semasa menjual pisang kepada pelanggan, kadangkala terdapat beberapa risiko yang perlu kita perhatikan.

Risiko ini semuanya mengancam kewangan syarikat, oleh itu, perlu diteliti dan diambil tindakan pencegahan sebaiknya.

1. Risiko Kecurian Buah Semasa Diangkut

Seorang kenalan kami bercerita, sahabatnya menghadapi risiko ini. Beliau sedang dalam perjalanan ke pasar borong mengangkut pisang penuh dalam lori 3 tan.  Beliau berenti rehat di sebuah RnR. Namun malangnya, lori beliau yang penuh dengan muatan pisang itu dicuri. Habis RM100,000!

2. Risiko Consignment

- Pastikan pelanggan consignment sentiasa bayar apabila tempoh kredit matang.

- Pastikan jumlah had kredit tidak melebihi RM2000 atau jumlah had kredit  yang kita tentukan. Bagaimana menentukan jumlah had kredit? Tentukan dengan melihat komitmen bulanan ladang. Tanya soalan ini, adakah jika consignee tidak bayar hutang, kita mampu berbisnes macam biasa? Kita kadangkala tak nampak kos bulanan ladang sebab mungkin ladang masih kecil. Berapa ribu RM sanggup kita bakar? Berapa ramai consignee yang sanggup kita taja?

3. Risiko Buah Rosak Dalam Pengangkutan

- Salah satu kos paling besar dalam bisnes adalah kos pengangkutan. Bukan soal jarak dan jenis pengangkutan sahaja yang menjadikan kosnya mahal. Malah pengurusan barang yang diangkut dan skill mengangkut hasil tani juga menjadi sebab kosnya mahal.

- Dalam manual pengurusan hasil tani selepas tuaian(post-harvesting handling procedures), ada diajarkan bagaimana membungkus, mengangkut, melabel, dan menyimpan stok hasil tani, bermula sebaik sahaja selepas dituai, sehinggalah selamat ke tangan pengguna.

4. Risiko Buah Rosak Selepas Dihantar Kepada Pelanggan

- Dua sebab utama bagaimana buah boleh rosak hanya selepas dihantar kepada pelanggan yang menyebabkan pelanggan tidak dapat jual atau guna buah yang kita jual. Satu, pisang rosak disebabkan penyakit pisang yang tidak dapat dikesan awal ataupun cuaca semasa tuaian dan proses penghantaran.

- Dua, kadangkala ada keadaan di mana situasi yang kita hadapi tiada disebut dalam manual prosedur pengurusan selepas tuaian. Jadi kita terpaksa melakukan kesilapan dan 'membayar yuran kebodohan'.

- Pisang mungkin rosak apabila sudah dijual kepada pelanggan. Contohnya pisang lemak manis tidak dapat bertahan lama lebih 3 hari apabila digantung. Cara mengatasinya adalah menjual dengan meletakkannya di dalam pinggan plastik kecil.

5. Risiko Pengedar Tidak Membayar Hutang

-Sesetengah ladang memajakkan buah mereka terus kepada pengedar. Pengedar hanya datang mengambil buah dan membayar kemudian. Ada juga yang membayar secara terus. Jika kita tidak berhati-hati dan tidak mengenali pengedar dengan baik, mungkin wang hasil ladang akan dibawa lari.

6. Risiko Pengedar Tidak Mahu Membeli Buah

- Pelanggan pisang mempunyai karakteristik dan kecenderungan masing-masing. Misalnya, ada jenis pisang mereka suka jual dan ada jenis pisang mereka tidak suka jual. Kenalpasti jenis pisang apa yang biasa mereka jual dan harganya.

- Lebih kritikal lagi, pelanggan pisang memerlukan kita memaklumkan terlebih dahulu setiap kali kita mahu membekalkan pisang.

- Kadangkala pelanggan pisang tidak mahu ambil buah kerana pisang kita tidak menepati kehendak mereka seperti saiz kecil, buah berbintik, buah terlalu masak, jumlah dibekalkan melebihi tempahan, pisang berpenyakit,

7. Risiko Salah Ambil Tempahan

- Situasi ini sebenarnya kecil sahaja. Asalnya hanya disebabkan miscommunication atau salah faham komunikasi. Hal ini boleh terjadi dalam pengurusan tempahan yang tidak dipusatkan, salah dengar jenis buah yang ditempah, tidak mengesahkan tempahan apabila dekat dengan tarikh pengambilan pisang di ladang, dan tempahan diambil atau dibatalkan saat akhir.
- Pembatalan tempahan saat akhir mungkin menambahkan kos. Contohnya kerana kita sudah mengeluarkan kos membeli pisang dari ladang lain, namun apabila tiba saat pengagihan, pisang tidak mahu dibeli oleh pelanggan. Tempahan saat akhir juga kadangkala meningkatkan kos, kerana kita perlu menambah perbelanjaan bajet.

8. Risiko Kehilangan Pelanggan

- Selepas menghadapi 7 risiko di atas, kita mungkin perlu menghadapi risiko yang terakhir ini. Kita perlu memilih pelanggan yang kurang berisiko  dan berdisiplin serta yang percaya pada bisnes kita dan mahu berurusniaga dengan kita.

Ladang Yaatim
9.12.16
_________
Ikuti perkongsian tips, teknik, nota bisnes dan penanaman pisang di
http://facebook.com/notabisnespisang

Wednesday, January 11, 2017

Kerepek Pisang : Kesan Berantai Kenaikan Harga Minyak Masak

Rentetan kenaikan harga minyak masak bersubsidi sekitar awal November lalu, banyak peniaga kecil mengeluh kepada kami.

Pemain industri kecil berkaitan pisang seperti pembuatan kerepek pisang, peniaga pisang goreng yang banyak menggunakan minyak masak dalam menghasilkan produk mereka, terpukul teruk dengan kenaikan ini.

Bayangkan, kos menghasilkan produk meningkat hampir 80% berbanding sebelum ini. Contohnya, bagi menghasilkan 30kg pisang goreng, sebanyak 10kg minyak masak minimum diperlukan. Kos minyak dahulunya hanya RM25 (RM2.50 × 10 paket 1 kg), kini paling kurang RM42.60 (RM21.30 x 2 botol 5kg). Itu belum dikira jika pisang terlalu masak, pisang akan menyerap banyak minyak. Sudah rugi minyak pula di situ.

Bagi menghasilkan 50-60kg kerepek pisang pula, sebanyak 20kg minimum minyak masak diperlukan. Minyak masak yang digunakan akan tersejat sedikit demi sedikit. Rugi minyak lagi.

Menurut kenalan pengusaha kerepek, sekitar RM500 kos hanya untuk minyak sahaja. Untung jualan kerepek hanya sekitar RM1-2 per kg. Allahu...

Kerepek pisang dan pisang goreng bukanlah makanan ruji rakyat Malaysia. Ia bukan barang keperluan harian. Tetapi pisang adalah makanan bukan keperluan. Jadi, perbelanjaan rakyat lebih fokus kepada barang keperluan memandangkan situasi ekonomi yang semakin teruk.

Jika peniaga tidak dapat serap harga kos, mereka akan naikkan harga jualan. Jika harga jualan naik, mereka akan kehilangan lebih ramai pelanggan. Dalam keadaan biasa pun, mereka sudah kehilangan banyak pelanggan.

Apapun, kita berharap kemelut dan kenaikan kos ini hanyalah bersifat sementara. Mari kita sama-sama doakan supaya Malaysia kembali pulih dan rakyat dapat menikmati pisang goreng dan kerepek setiap hari.

Pelan Pemulihan Ladang Siri 1

Apabila ladang pisang terkena penyakit, kita perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut. Jikalau kita lambat ambil tin...