Sunday, August 13, 2017

Pisang Tisu Kultur vs Pisang Sulur

Beberapa minggu lepas, ada yang bertanya, berkenaan kebaikan atau kelebihan pisang kultur tisu berbanding pisang sulur (benih anak pokok).

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita mesti kenal apa itu pisang kultur tisu terlebih dahulu.

Benih pisang kultur tisu, asalnya daripada sulur pisang juga. Selepas dipilih benih terbaik berdasarkan induk, sulur tersebut 'dikerjakan' di makmal kultur tisu bagi menghasilkan 50 lagi benih pisang.

Benih pisang yang sudah siap diklonkan akan diletakkan di dalam botol kaca, biasanya 10 pokok 1 botol. Botol-botol benih ini akan diperam dalam cecair khas, dalam bilik sejuk dengan suhu terkawal selama beberapa bulan. Selepas 4-5 bulan, barulah benih tisu dipindahkan ke polybag kecil untuk dijaga di dalam nurseri.

Apa Kelebihan Pisang Kultur Tisu?

+ Jika ladang dibuka itu luas dan memerlukan benih pokok yang banyak dalam masa singkat, tisu kultur adalah jawapannya.
+ Lebih daya ketahanan terhadap penyakit. Tidak mewarisi penyakit daripada induk.

Kekurangannya?
- Tempoh masa yang agak lama untuk matang, dari fasa botol-polibag-tanah. Lebih lama sedikit berbanding benih sulur.
- Lebih sensitif kepada cahaya dan air serta baja. Menyebabkan ia mudah mati
-  Rasanya kurang manis berbanding pisang biasa.
-  Agak sukar dijual di pasaran tempatan kerana sebahagian peraih tidak mahu mengambilnya dengan alasan masyarakat kurang suka.
-  Tidak banyak jenis pisang yang ada kultur tisu. Hanya ada beberapa
-  Kultur tisu perlu diuji hasilnya sama ada menjadi atau tidak. Jika tersilap memilih pembekal benih tisu, ladang anda mungkin terpaksa disodok rata bulldozer selepas 10 bulan. Mandul!
-  Harganya lebih mahal berbanding pisang sulur. Harga pasaran RM2.50-RM4 sepokok.

Apa pula Kelebihan Pisang Sulur?

+ Akar pokok lebih kuat kerana lebih banyak support di sekeliling pokok.
+ Ditanam secara langsung di dalam tanah. Terdedah lebih banyak kepada top soil dan nutrien tanah yang banyak.
+ Mudah dikenali jika diambil terus pada induknya.
+ Masa lebih singkat untuk pusingan pertama, kedua dan ketiga.
+ Harga yang lebih murah berbanding benih tisu. Harga pasaran RM1-RM2 sepokok.

Kekurangannya?
- Boleh merosakkan pokok induk.
- Mewarisi penyakit daripada induk. Hanya dapat dikenalpasti selepas berbuah dan dituai hasilnya.
- Sukar dikenalpasti jika bercampur aduk dengan jenis pisang lain.

Anda boleh pilih mana-mana berdasarkan bajet anda. Tak semestinya benih pisang sulur kelihatan banyak kelebihan, anda mendapat semua kelebihan itu. Yang penting, pilih pembekal benih yang jujur dan boleh dipercayai.

No comments:

Post a Comment

Pelan Pemulihan Ladang Siri 1

Apabila ladang pisang terkena penyakit, kita perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut. Jikalau kita lambat ambil tin...